Memaparkan catatan dengan label Al Hikam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Al Hikam. Papar semua catatan

Sabtu, 21 Mei 2011

SYARAH AL HIKAM 13: HIJAB YANG HALANG PERJALANAN

TAJUK 13:
HIJAB YANG HALANG PERJALANAN


BAGAIMANA HATI AKAN DAPAT DISINARI SEDANGKAN GAMBAR-GAMBAR ALAM MAYA MELEKAT PADA CERMINNYA, ATAU BAGAIMANA MUNGKIN BERJALAN KEPADA ALLAH S.W.T SEDANGKAN DIA MASIH DIBELENGGU OLEH SYAHWATNYA, ATAU BAGAIMANA AKAN MASUK KE HADRAT ALLAH S.W.T SEDANGKAN DIA MASIH BELUM SUCI DARI JUNUB KELALAIANNYA, ATAU BAGAIMANA MENGHARAP UNTUK MENGERTI RAHSIA-RAHSIA YANG HALUS SEDANGKAN DIA BELUM TAUBAT DARI DOSANYA (KELALAIAN, KEKELIRUAN DAN KESALAHAN).

Hikmat 12 memberi penekanan tentang uzlah iaitu mengasingkan diri. Hikmat 13 ini pula memperingatkan bahawa uzlah tubuh badan sahaja tidak memberi kesan yang baik jika hati tidak ikut beruzlah. Walaupun tubuh badan dikurung hati masih boleh disambar oleh empat perkara:
  1. Gambaran, ingatan, tarikan dan keinginan terhadap benda-benda alam seperti harta, perempuan, pangkat dan lain-lain.
  2. Kehendak atau syahwat yang mengarahkan perhatian kepada apa yang dikehendaki.
  3. Kelalaian yang menutup ingatan terhadap Allah s.w.t.
  4. Dosa yang tidak dibasuh dengan taubat masih mengotorkan hati.


Diri manusia tersusun daripada anasir tanah, air, api dan angin. Ia juga diresapi oleh unsur-unsur alam seperti galian, tumbuh-tumbuhan, haiwan, syaitan dan malaikat. Tiap-tiap anasir dan unsur itu menarik hati kepada diri masing-masing. Tarik menarik itu akan menimbulkan kekacauan di dalam hati. Kekacauan itu pula menyebabkan hati menjadi keruh. Hati yang keruh tidak dapat menerima sinaran nur yang melahirkan iman dan tauhid. Mengubati kekacauan hati adalah penting untuk membukakannya bagi menerima maklumat dari Alam Malakut. Hati yang kacau itu boleh distabilkan dengan cara menundukkan semua anasir dan unsur tadi kepada syariat. Syariat menjadi tali yang dapat mengikat musuh-musuh yang cuba menawan hati. Penting bagi seorang murid yang menjalani jalan kerohanian menjadikan syariat sebagai payung yang mengharmonikan perjalanan anasir-anasir dan daya-daya yang menyerap ke dalam diri agar cermin hatinya bebas daripada gambar-gambar alam maya. Bila cermin hati sudah bebas daripada gambar-gambar dan tarikan tersebut, hati dapat menghadap ke Hadrat Ilahi.

Selain tarikan benda-benda alam, hati boleh juga tunduk kepada syahwat. Syahwat bukan sahaja rangsangan hawa nafsu yang rendah. Semua bentuk kehendak diri sendiri yang berlawanan dengan kehendak Allah s.w.t adalah syahwat. Kerja syahwat adalah mengajak manusia supaya lari dari hukum dan peraturan Allah s.w.t serta membangkang takdir Ilahi. Syahwat membuat manusia tidak reda dengan keputusan Allah s.w.t. Seseorang yang mahu menuju Allah s.w.t perlulah melepaskan dirinya dari belenggu syahwat dan kehendak diri sendiri, lalu masuk ke dalam benteng aslim iaitu berserah diri kepada Allah s.w.t dan reda dengan takdir-Nya.

Perkara ke tiga yang dibangkitkan oleh Hikmat ke tiga belas ini ialah kelalaian yang diistilahkan sebagai junub batin. Orang yang berjunub adalah tidak suci dan dilarang melakukan ibadat atau memasuki masjid. Orang yang berjunub batin pula tertegah dari memasuki Hadrat Ilahi. Orang yang di dalam junub batin iaitu lalai hati, kedudukannya seperti orang yang berjunub zahir, di mana amal ibadatnya tidak diterima. Allah s.w.t mengancam untuk mencampakkan orang yang bersembahyang dengan lalai (dalam keadaan berjunub batin) ke dalam neraka wil. Begitu hebat sekali ancaman Allah s.w.t kepada orang yang menghadap-Nya dengan hati yang lalai.

Mengapa begitu hebat sekali ancaman Allah s.w.t kepada orang yang lalai? Bayangkan hati itu berupa dan berbentuk seperti rupa dan bentuk kita yang zahir. Hati yang khusyuk adalah umpama orang yang menghadap Allah s.w.t dengan mukanya, duduk dengan tertib, bercakap dengan sopan santun dan tidak berani mengangkat kepala di hadapan Maharaja Yang Maha Agung. Hati yang lalai pula adalah umpama orang yang menghadap dengan belakangnya, duduk secara biadab, bertutur kata tidak tentu hujung pangkal dan kelakuannya sangat tidak bersopan. Perbuatan demikian adalah satu penghinaan terhadap martabat ketuhanan Yang Maha Mulia dan Maha Tinggi. Jika raja didunia murka dengan perbuatan demikian maka Raja kepada sekalian raja-raja lebih berhak melemparkan kemurkaan-Nya kepada hamba yang biadab itu dan layaklah jika si hamba yang demikian dicampakkan ke dalam neraka wil. Hanya hamba yang khusyuk, yang tahu bersopan santun di hadapan Tuhannya dan mengagungkan Tuhannya yang layak masuk ke Hadrat-Nya, sementara hamba yang lalai, tidak tahu bersopan santun tidak layak mendekati-Nya.

Perkara yang ke empat adalah dosa-dosa yang belum ditebus dengan taubat. Ia menghalang seseorang daripada memahami rahsia-rahsia yang halus-halus. Pintu kepada Perbendaharaan Allah s.w.t yang tersembunyi adalah taubat! Orang yang telah menyuci-bersihkan hatinya hanya mampu berdiri di luar pintu Rahsia Allah s.w.t selagi dia belum bertaubat, samalah seperti orang yang mati syahid yang belum menjelaskan hutangnya terpaksa menunggu di luar syurga. Jika dia mahu masuk ke dalam Perbendaharaan Allah s.w.t yang tersembunyi yang mengandungi rahsia yang halus-halus wajiblah bertaubat. Taubat itu sendiri merupakan rahsia yang halus. Orang yang tidak memahami rahsia taubat tidak akan mengerti mengapa Rasulullah s.a.w yang tidak pernah melakukan dosa masih juga memohon keampunan sedangkan sekalipun baginda s.a.w berdosa semuanya diampunkan Allah s.w.t. Adakah Rasulullah s.a.w tidak yakin bahawa Allah s.w.t mengampunkan semua dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan baginda s.a.w (jika ada)?

Maksud taubat ialah kembali, iaitu kembali kepada Allah s.w.t. Orang yang melakukan dosa tercampak jauh daripada Allah s.w.t. Walaupun orang ini sudah berhenti melakukan dosa malah dia sudah melakukan amal ibadat dengan banyaknya namun, tanpa taubat dia tetap tinggal berjauhan dari Allah s.w.t. Dia telah masuk ke dalam golongan hamba yang melakukan amal salih tetapi yang berjauhan bukan berdekatan dengan Allah s.w.t. Taubat yang lebih halus ialah pengayatan kalimat:



 Tiada daya dan upaya melainkan anugerah Allah s.w.t. 


 Kami datang dari Allah s.w.t dan kepada Allah s.w.t kami kembali.

Segala sesuatu datangnya dari Allah s.w.t, baik kehendak mahupun perbuatan kita. Sumber yang mendatangkan segala sesuatu adalah Uluhiyah (Tuhan) dan yang menerimanya adalah ubudiyah (hamba). Apa sahaja yang dari Uluhiyah adalah sempurna dan apa sahaja yang terbit dari ubudiyah adalah tidak sempurna. Uluhiyah membekalkan kesempurnaan tetapi ubudiyah tidak dapat melaksanakan kesempurnaan itu. Jadi, ubudiyah berkewajipan mengembalikan kesempurnaan itu kepada Uluhiyah dengan memohon keampunan dan bertaubat sebagai menampung kecacatan. Segala urusan dikembalikan kepada Allah s.w.t. Semakin tinggi makrifat seseorang hamba semakin kuat ubudiyahnya dan semakin kerap dia memohon keampunan dari Allah s.w.t, mengembalikan setiap urusan kepada Allah s.w.t, sumber datangnya segala urusan.

Apabila hamba mengembalikan urusannya kepada Allah s.w.t maka Allah s.w.t sendiri yang akan mengajarkan Ilmu-Nya yang halus-halus agar kehendak hamba itu bersesuaian dengan Iradat Allah s.w.t, kuasa hamba sesuai dengan Kudrat Allah s.w.t, hidup hamba sesuai dengan Hayat Allah s.w.t dan pengetahuan hamba sesuai dengan Ilmu Allah s.w.t, dengan itu jadilah hamba mendengar kerana Sama’ Allah s.w.t, melihat kerana Basar Allah s.w.t dan berkata-kata kerana Kalam Allah s.w.t. Apabila semuanya berkumpul pada seorang hamba maka jadilah hamba itu Insan Sirullah (Rahsia Allah s.w.t).

[Baca selanjutnya...]

SYARAH AL HIKAM 9: AHWAL MENENTUKAN AMAL

TAJUK 9:
AHWAL MENENTUKAN AMAL


BERBAGAI-BAGAI JENIS AMAL ADALAH KERANA BERBAGAI-BAGAI AHWAL (HAL-HAL)

Hikmat 9 di atas ringkas tetapi padat. Hikmat ini merupakan lanjutan kepada Hikmat 8 yang dihuraikan sebelum ini. Hikmat yang ke lapan menjelaskan setakat perhentian di hadapan pintu gerbang dan belum menyentuh makrifat. Hikmat ke sembilan ini memberi gambaran tentang makrifat tetapi tidak dikatakan makrifat dan tidak dihuraikan secara terus terang sebaliknya diperkatakan sebagai ahwal. Ahwal adalah jamak bagi perkataan hal. Hikmat ini membawa erti hal membentuk keadaan amal. Amal adalah perbuatan atau kelakuan lahiriah dan hal adalah suasana atau kelakuan hati. Amal berkaitan dengan lahiriah manakala hal berkaitan dengan batiniah. Oleh kerana hati menguasai sekalian anggota maka kelakuan hati iaitu hal menentukan bentuk amal iaitu perbuatan lahiriah.



Dalam pandangan tasauf, hal diertikan sebagai pengalaman rohani dalam proses mencapai hakikat dan makrifat. Hal merupakan zauk atau rasa yang berkaitan dengan hakikat ketuhanan yang melahirkan makrifatullah (pengenalan tentang Allah s.w.t). Oleh itu, tanpa hal tidak ada hakikat dan tidak diperolehi makrifat. Ahli ilmu membina makrifat melalui dalil ilmiah tetapi ahli tasauf bermakrifat melalui pengalaman tentang hakikat.

Sebelum memperolehi pengalaman hakikat, ahli kerohanian terlebih dahulu memperolehi kasyaf iaitu terbuka keghaiban kepadanya. Ada orang mencari kasyaf yang dapat melihat makhluk ghaib seperti jin. Dalam proses mencapai hakikat ketuhanan kasyaf yang demikian tidak penting. Kasyaf yang penting adalah yang dapat mengenali tipu daya syaitan yang bersembunyi dalam berbagai-bagai bentuk dan suasana dunia ini. Kasyaf yang menerima hakikat sesuatu, walau apa jua rupa yang dihadapi, penting bagi pengembara kerohanian. Rasulullah s.a.w sendiri sebagai ahli kasyaf yang paling unggul hanya melihat Jibrail a.s dalam rupanya yang asli dua kali sahaja, walaupun pada setiap kali Jibrail a.s menemui Rasulullah s.a.w dengan rupa yang berbeza-beza, Rasulullah s.a.w tetap mengenalinya sebagai Jibrail a.s. Kasyaf yang seperti inilah yang diperlukan agar seseorang itu tidak tertipu dengan tipu daya syaitan yang menjelma dalam berbagai-bagai rupa yang hebat dan menawan sekalipun, seperti rupa seorang yang kelihatan alim dan warak.

Bila seseorang ahli kerohanian memperolehi kasyaf maka dia telah bersedia untuk menerima kedatangan hal atau zauk iaitu pengalaman kerohanian tentang hakikat ketuhanan. Hal tidak mungkin diperolehi dengan beramal dan menuntut ilmu. Sebelum ini pernah dinyatakan bahawa tidak ada jalan untuk masuk ke dalam gerbang makrifat. Seseorang hanya mampu beramal dan menuntut ilmu untuk sampai hampir dengan pintu gerbangnya. Apabila sampai di situ seseorang hanya menanti kurniaan Allah s.w.t, semata-mata kurniaan Allah s.w.t yang membawa makrifat kepada hamba-hamba-Nya. Kurniaan Allah s.w.t yang mengandungi makrifat itu dinamakan hal. Allah s.w.t memancarkan Nur-Nya ke dalam hati hamba-Nya dan akibat dari pancaran itu hati akan mendapat sesuatu pengalaman atau terbentuk satu suasana di dalam hati. Misalnya, pancaran Nur Ilahi membuat hati mengalami hal bahawa Allah Maha Perkasa. Apa yang terbentuk di dalam hati itu tidak dapat digambarkan tetapi kesannya dapat dilihat pada tubuhnya yang menggigil hingga dia jatuh pengsan. Pancaran Nur Ilahi membuat hati mengalami hal atau zauk atau merasai keperkasaan Allah s.w.t dan pengalaman ini dinamakan hakikat, iaitu hati mengalami hakikat keperkasaan Allah s.w.t. Pengalaman hati tersebut membuatnya berpengetahuan tentang maksud Allah Maha Perkasa. Jadi, pengalaman yang diperolehi daripada zauk hakikat melahirkan pengetahuan tentang Tuhan. Pengetahuan itu dinamakan makrifat. Orang yang berkenaan dikatakan bermakrifat terhadap keperkasaan Allah s.w.t. Oleh itu untuk mencapai makrifat seseorang itu haruslah mengalami hakikat. Inilah jenis makrifat yang tertinggi. Makrifat tanpa pengalaman hati adalah makrifat secara ilmu. Makrifat secara ilmu boleh didapati dengan belajar, sementara secara zauk didapati tanpa belajar. Ahli tasauf tidak berhenti setakat makrifat secara ilmu malah mereka mempersiapkan hati mereka agar sesuai menerima kedatangan makrifat secara zauk.

Ada orang yang memperolehi hal sekali sahaja dan dikuasai oleh hal dalam tempuh yang tertentu sahaja dan ada juga yang berkekalan di dalam hal. Hal yang berterusan atau berkekalan dinamakan wisal iaitu penyerapan hal secara berterusan, kekal atau baqa. Orang yang mencapai wisal akan terus hidup dengan cara hal yang berkenaan. Hal-hal (ahwal) dan wisal boleh dibahagikan kepada lima jenis:

1 : Abid: 
Abid adalah orang yang dikuasai oleh hal atau zauk yang membuat dia merasakan secara bersangatan bahawa dirinya hanyalah seorang hamba yang tidak memiliki apa-apa dan tidak mempunyai sebarang daya dan upaya untuk melakukan sesuatu. Kekuatan, keupayaan, bakat-bakat dan apa sahaja yang ada dengannya adalah daya dan upaya yang daripada Allah s.w.t. Semuanya itu adalah kurniaan-Nya semata-mata. Allah s.w.t sebagai Pemilik yang sebenar, apabila Dia memberi, maka Dia berhak mengambil kembali pada bila-bila masa yang Dia kehendaki. Seorang abid benar-benar bersandar kepada Allah s.w.t hinggakan sekiranya dia melepaskan sandaran itu dia akan jatuh, tidak bermaya, tidak boleh bergerak, kerana dia benar-benar melihat dirinya kehilangan apa yang datangnya dari Allah s.w.t. Hal atau suasana yang menguasai hati abid itu akan melahirkan amal atau kelakuan sangat kuat beribadat, tidak memperdulikan dunia dan isinya, tidak mengambil bahagian dalam urusan orang lain, sangat takut berjauhan dari Allah s.w.t dan gemar bersendirian. Dia merasakan apa sahaja yang selain Allah s.w.t akan menjauhkan dirinya daripada Allah s.w.t.

2 : Asyikin: 
Asyikin ialah orang yang mendapat asyik dengan sifat Keindahan Allah s.w.t. Rupa, bentuk, warna dan ukuran tidak menjadi soal kepadanya kerana apa sahaja yang dilihatnya menjadi cermin yang dia melihat Keindahan serta Keelokan Allah s.w.t di dalamnya. Amal atau kelakuan asyikin ialah gemar merenung alam maya dan memuji Keindahan Allah s.w.t pada apa yang disaksikannya. Dia boleh duduk menikmati keindahan alam beberapa jam tanpa berasa jemu. Kilauan ombak dan titikan hujan memukau pandangan hatinya. Semua yang kelihatan adalah warna Keindahan dan Keelokan Allah s.w.t. Orang yang menjadi asyikin tidak memperdulikan lagi adab dan peraturan masyarakat. Kesedarannya bukan lagi pada alam ini. Dia mempunyai alamnya sendiri yang di dalamnya hanyalah Keindahan Allah s.w.t.

3 : Muttakhaliq: 
Muttakhaliq adalah orang yang mencapai yang Haq dan bertukar sifatnya. Hatinya dikuasai oleh suasana Qurbi Faraidh atau Qurbi Nawafil. Dalam Qurbi Faraidh, muttakhaliq merasakan dirinya adalah alat dan Allah s.w.t menjadi Pengguna alat. Dia melihat perbuatan atau kelakuan dirinya terjadi tanpa dia merancang dan campur tangan, bahkan dia tidak mampu mengubah apa yang mahu terjadi pada kelakuan dan perbuatannya. Dia menjadi orang yang berpisah daripada dirinya sendiri. Dia melihat dirinya melakukan sesuatu perbuatan seperti dia melihat orang lain yang melakukannya, yang dia tidak berdaya mengawal atau mempengaruhinya. Hal Qurbi Faraidh adalah dia melihat bahawa Allah s.w.t melakukan apa yang Dia kehendaki. Perbuatan dia sendiri adalah gerakan Allah s.w.t, dan diamnya juga adalah gerakan Allah s.w.t. Orang ini tidak mempunyai kehendak sendiri, tidak ada ikhtiar dan tadbir. Apa yang mengenai dirinya, seperti perkataan dan perbuatan, berlaku secara spontan. Kelakuan atau amal Qurbi Faraidh ialah bercampur-campur di antara logik dengan tidak logik, mengikut adat dengan merombak adat, kelakuan alim dengan jahil. Dalam banyak perkara penjelasan yang boleh diberikannya ialah, “Tidak tahu! Allah s.w.t berbuat apa yang Dia kehendaki”.

Dalam suasana Qurbi Nawafil pula muttakhaliq melihat dengan mata hatinya sifat-sifat Allah s.w.t yang menguasai bakat dan keupayaan pada sekalian anggotanya dan dia menjadi pelaku atau pengguna sifat-sifat tersebut, iaitu dia menjadi khalifah dirinya sendiri. Hal Qurbi Nawafil ialah berbuat dengan izin Allah s.w.t kerana Allah s.w.t mengurniakan kepadanya kebolehan untuk berbuat sesuatu. Contoh Qurbi Nawafil adalah kelakuan Nabi Isa a.s yang membentuk rupa burung dari tanah liat lalu menyuruh burung itu terbang dengan izin Allah s.w.t, juga kelakuan beliau a.s menyeru orang mati supaya bangkit dari kuburnya. Nabi Isa a.s melihat sifat-sifat Allah s.w.t yang diizinkan menjadi bakat dan keupayaan beliau a.s, sebab itu beliau a.s tidak ragu-ragu untuk menggunakan bakat tersebut menjadikan burung dan menghidupkan orang mati dengan izin Allah s.w.t.

4 : Muwahhid: 
Muwahhid fana dalam zat, zatnya lenyap dan Zat Mutlak yang menguasainya. Hal bagi muwahhid ialah dirinya tidak ada, yang ada hanya Allah s.w.t. Orang ini telah putus hubungannya dengan kesedaran basyariah dan sekalian maujud. Kelakuan atau amalnya tidak lagi seperti manusia biasa kerana dia telah terlepas dari sifat-sifat kemanusiaan dan kemakhlukan. Misalkan dia bernama Abdullah, dan jika ditanya kepadanya di manakah Abdullah, maka dia akan menjawab Abdullah tidak ada, yang ada hanyalah Allah! Dia benar-benar telah lenyap dari ke‘Abdullah-an’ dan benar-benar dikuasai oleh ke‘Allah-an’. Ketika dia dikuasai oleh hal dia terlepas daripada beban hukum syarak. Dia mungkin melaungkan, “Akulah Allah! Maha Suci Aku! Sembahlah Aku!” Dia telah fana dari ‘aku’ dirinya dan dikuasai oleh kewujudan ‘Aku Hakiki’. Walau bagaimana pun sikap dan kelakuannya dia tetap dalam keredaan Allah s.w.t. Apabila dia tidak dikuasai oleh hal, kesedarannya kembali dan dia menjadi ahli syariat yang taat. Perlu diketahui bahawa hal tidak boleh dibuat-buat dan orang yang dikuasai oleh hal tidak berupaya menahannya. Ahli hal karam dalam lakuan Allah s.w.t. Bila dia melaungkan , “Akulah Allah!” bukan bermakna dia mengaku telah menjadi Tuhan, tetapi dirinya telah fana, apa yang terucap melalui lidahnya sebenarnya adalah dari Allah s.w.t. Allah s.w.t yang mengatakan Dia adalah Tuhan dengan menggunakan lidah muwahhid yang sedang fana itu.

Berbeza pula golongan mulhid. Si mulhid tidak dikuasai oleh hal, tidak ada zauk, tetapi berkelakuan dan bercakap seperti orang yang di dalam zauk. Orang ini dikuasai oleh ilmu tentang hakikat bukan mengalami hakikat secara zauk. Si mulhid membuang syariat serta beriman berdasarkan ilmu semata-mata. Dia berpuas hati bercakap tentang iman dan tauhid tanpa beramal menurut tuntutan syariat. Orang ini bercakap sebagai Tuhan sedangkan dia di dalam kesedaran kemanusiaan, masih gelojoh dengan keinginan hawa nafsu. Orang-orang sufi bersepakat mengatakan bahawa sesiapa yang mengatakan, “Ana al-Haq!” sedangkan dia masih sedar tentang dirinya maka orang berkenaan adalah sesat dan kufur!

5 : Mutahaqqiq: 
Mutahaqqiq ialah orang yang setelah fana dalam zat turun kembali kepada kesedaran sifat, seperti yang terjadi kepada nabi-nabi dan wali-wali demi melaksanakan amanat sebagai khalifah Allah di atas muka bumi dan kehidupan dunia yang wajib diuruskan. Dalam kesedaran zat seseorang tidak keluar dari khalwatnya dengan Allah s.w.t dan tidak peduli tentang keruntuhan rumah tangga dan kehancuran dunia seluruhnya. Sebab itu orang yang demikian tidak boleh dijadikan pemimpin. Dia mesti turun kepada kesedaran sifat baharulah dia boleh memimpin orang lain. Orang yang telah mengalami kefanaan dalam zat kemudian disedarkan dalam sifat adalah benar-benar pemimpin yang dilantik oleh Allah s.w.t menjadi Khalifah-Nya untuk memakmurkan makhluk Allah s.w.t dan memimpin umat manusia menuju jalan yang diredai Allah s.w.t. Orang inilah yang menjadi ahli makrifat yang sejati, ahli hakikat yang sejati, ahli tarekat yang sejati dan ahli syariat yang sejati, berkumpul padanya dalam satu kesatuan yang menjadikannya Insan Rabbani. Insan Rabbani peringkat tertinggi ialah para nabi-nabi dan Allah s.w.t kurniakan kepada mereka maksum, sementara yang tidak menjadi nabi dilantik sebagai wali-Nya yang diberi perlindungan dan pemeliharaan.

Ahwal (hal-hal) yang menguasai hati nurani berbeza-beza, dengan itu akan mencetuskan kelakuan amal yang berbeza-beza. Ahwal mesti difahami dengan sebenar-benarnya oleh orang yang memasuki latihan tarekat kerohanian, supaya dia mengetahui, dalam amal yang bagaimanakah dia mendapat kedamaian dan mencapai maksud dan tujuan, apakah dengan sembahyang, zikir atau puasa. Dia mesti berpegang sungguh-sungguh kepada amal yang dicetuskan oleh hal tadi, agar dia cepat dan selamat sampai ke puncak.


[Baca selanjutnya...]

SYARAH AL HIKAM 27: BERPEGANG KEPADA MAKAM

TAJUK 27:
BERPEGANG KEPADA MAKAM

JANGAN MEMINTA KEPADA ALLAH S.W.T SUPAYA DIPINDAHKAN DARI SATU HAL KEPADA HAL YANG LAIN, SEBAB JIKA ALLAH S.W.T MENGKEHENDAKI DIPINDAHKAN KAMU TANPA MERUBAH KEADAAN KAMU YANG LAMA.

Hal adalah pengalaman hati tentang hakikat. Hal tidak boleh didapati melalui amal dan juga ilmu. Tidak boleh dikatakan bahawa amalan menurut tarekat tasauf menjamin seseorang murid memperolehi hal. Latihan secara tarekat tasauf hanya menyucikan hati agar hati itu menjadi bekas yang sesuai bagi menerima kedatangan hal-hal (ahwal). Hal hanya diperolehi kerana anugerah Allah s.w.t. Mungkin timbul pertanyaan mengapa ditekankan soal amal seperti yang dinyatakan dalam Hikmat yang lalu sedangkan amal itu sendiri tidak menyampaikan kepada Tuhan?


Perlu difahami bahawa seseorang hamba tidak mungkin berjumpa dengan Tuhan jika Tuhan tidak mahu bertemu dengannya. Tetapi, jika Tuhan mahu menemui seseorang hamba maka dia akan dipersiapkan agar layak berhadapan dengan Tuhan pada pertemuan yang sangat suci dan mulia. Jika seorang hamba didatangi kecenderungan untuk menyucikan dirinya, itu adalah tanda bahawa dia diberi kesempatan untuk dipersiapkan agar layak dibawa berjumpa dengan Tuhan. Hamba yang bijaksana adalah yang tidak melepaskan kesempatan tersebut, tidak menunda-nunda kepada waktu yang lain. Dia tahu bahawa dia menerima undangan dari Tuhan Yang Maha Mulia, lalu dia menyerahkan dirinya untuk dipersiapkan sehingga kepada tahap dia layak menghadap Tuhan sekalian alam. Makam di mana hamba dipersiapkan ini dinamakan aslim atau menyerah diri sepenuhnya kepada Tuhan. Tuhan yang tahu bagaimana mahu mempersiapkan hamba yang Dia mahu temui. Tujuan amalan tarekat tasauf ialah mempersiapkan para hamba agar berkeadaan bersiap sedia dan layak untuk dibawa berjumpa dengan Tuhan (memperolehi makrifat Allah s.w.t). Walaupun hal merupakan anugerah Allah s.w.t semata-mata, tetapi hal hanya mendatangi hati para hamba yang bersedia menerimanya.

Murid atau salik yang memperolehi hal akan meningkatkan ibadatnya sehingga suasana yang dicetuskan oleh hal itu sebati dengannya dan membentuk keperibadian yang sesuai dengan cetusan hal tersebut. Hal yang menetap itu dinamakan makam. Hal yang diperolehi dengan anugerah bila diusahakan akan menjadi makam. Misalnya, Allah s.w.t mengizinkan seorang salik mendapat hal di mana dia merasai bahawa dia sentiasa berhadapan dengan Allah s.w.t, Allah s.w.t melihatnya zahir dan batin, mendengar ucapan lidahnya dan bisikan hatinya. Salik memperteguhkan daya rasa tersebut dengan cara memperkuatkan amal ibadat yang sedang dilakukannya sewaktu hal tersebut datang kepadanya, sama ada ianya sembahyang, puasa atau zikir, sehingga daya rasa tadi menjadi sebati dengannya. Dengan demikian dia mencapai makam ihsan.

Satu sifat semula-jadi manusia adalah tergesa-gesa, bukan sahaja dalam perkara duniawi malah dalam perkara ukhrawi juga. Salik yang rohaninya belum mantap masih dibaluti oleh sifat-sifat kemanusiaan. Apabila dia mengalami satu hal dia akan merasai nikmatnya. Rindulah dia untuk menikmati hal yang lain pula. Lalu dia memohon kepada Allah s.w.t supaya ditukarkan halnya. Sekiranya hal yang datang tidak diperteguhkan ia tidak menjadi makam. Bila hal berlalu ia menjadi kenangan, tidak menjadi keperibadian. Meminta perubahan kepada hal yang lain adalah tanda kekeliruan dan boleh membantut perkembangan kerohanian.

Kekuatan yang paling utama adalah berserah kepada Allah s.w.t, reda dengan segala lakuan-Nya. Biarkan Allah Yang Maha Mengerti menguruskan kehidupan kita. Sebaik-baik perbuatan adalah menjaga makam yang kita sedang berada di dalamnya. Jangan meminta makam yang lebih tinggi atau lebih rendah. Semakin hampir dengan Allah s.w.t semakin hampir dengan bahaya yang besar, iaitu dicampak keluar dari majlis-Nya sesiapa yang tidak tahu menjaga kesopanan bermajlis dengan Tuhan Yang Maha Mulia dan Maha Tinggi. Oleh yang demikian, tunduklah kepada kemuliaan-Nya dan berserahlah kepada kebijaksanaan-Nya, nescaya Dia akan menguruskan keselamatan dan kesejahteraan para hamba-Nya.

[Baca selanjutnya...]

SYARAH AL HIKAM 12: UZLAH ADALAH PINTU TAFAKUR

TAJUK 12:
UZLAH ADALAH PINTU TAFAKUR

TIADA SESUATU YANG SANGAT BERGUNA BAGI HATI SEBAGAIMANA UZLAH UNTUK MASUK KE MEDAN TAFAKUR.


Kalam-kalam Hikmat pertama hingga ke sebelas telah memberi gambaran tentang keperibadian tauhid yang halus-halus. Seseorang yang mencintai Allah s.w.t dan mahu berada di sisi-Nya sangat ingin untuk mencapai keperibadian yang demikian. Dalam membentuk keperibadian itu dia gemar mengikuti landasan syariat, kuat beribadat dan menjauhkan diri dari perbuatan maksiat dan dosa. Dia sering bangun pada malam hari untuk melakukan sembahyang tahajud dan selalu pula melakukan puasa sunat. Dia menjaga tingkah-laku dan akhlak dengan mencontohi apa yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Hasil daripada kesungguhannya itu terbentuklah padanya keperibadian seorang muslim yang baik. Walaupun demikian dia masih tidak mencapai kepuasan dan kedamaian. Dia masih tidak mengerti tentang Allah s.w.t. Banyak persoalan yang timbul di dalam kepalanya yang tidak mampu dihuraikannya. Dia telah bertanya kepada mereka yang alim, tetapi dia tidak mendapat jawapan yang memuaskan hatinya. Jika ada pun jawapan yang baik disampaikan kepadanya dia tidak dapat menghayati apa yang telah diterangkan itu. Dia mengkaji kitab-kitab tasauf yang besar-besar. Ulama tasauf telah memberikan penjelasan yang mampu diterima oleh akalnya namun, dia masih merasakan kekosongan di satu sudut di dalam dirinya. Bolehlah dikatakan yang dia sampai kepada perbatasan akalnya.


Hikmat 12 ini memberi petunjuk kepada orang yang gagal mencari jawapan dengan kekuatan akalnya. Jalan yang disarankan ialah uzlah atau mengasingkan diri dari orang ramai. Jika dalam suasana biasa akal tidak mampu memecahkan kubu kebuntuan, dalam suasana uzlah hati mampu membantu akal secara tafakur, merenungi perkara-perkara yang tidak boleh difikirkan oleh akal biasa. Uzlah yang disarankan oleh Hikmat 12 ini bukanlah uzlah sebagai satu cara hidup yang berterusan tetapi ia adalah satu bentuk latihan kerohanian bagi memantapkan rohani agar akalnya dapat menerima pancaran Nur Kalbu kerana tanpa sinaran Nur Kalbu tidak mungkin akal dapat memahami hal-hal ketuhanan yang halus-halus, dan tidak akan diperolehi iman dan tauhid yang hakiki.

Hati adalah bangsa rohani atau nurani iaitu hati berkemampuan mengeluarkan nur jika ia berada di dalam keadaan suci bersih. nur yang dikeluarkan oleh hati yang suci bersih itu akan menerangi otak yang bertempat di kepala yang menjadi kenderaan akal. Akal yang diterangi oleh nur akan dapat mengimani perkara-perkara ghaib yang tidak dapat diterima oleh hukum logik. Beriman kepada perkara ghaib menjadi jalan untuk mencapai tauhid yang hakiki.

Nabi Muhammad s.a.w sebelum diutus sebagai Rasul pernah juga mengalami kebuntuan akal tentang hal ketuhanan. Pada masa itu ramai pendeta Nasrani dan Yahudi yang arif tentang hal tersebut, tetapi Nabi Muhammad s.a.w tidak pergi kepada mereka untuk mendapatkan jawapan yang mengganggu fikiran baginda s.a.w, sebaliknya baginda s.a.w telah memilih jalan uzlah. Ketika umur baginda s.a.w 36 tahun baginda s.a.w melakukan uzlah di Gua Hiraa. Baginda s.a.w tinggal sendirian di dalam gua yang sempit lagi gelap, terpisah dari isteri, anak-anak, keluarga, masyarakat hinggakan cahaya matahari pun tidak menghampiri baginda s.a.w. Amalan uzlah yang demikian baginda s.a.w lakukan secara berulang-ulang sehingga umur baginda s.a.w mencapai 40 tahun. Masa yang paling baginda s.a.w gemar beruzlah di Gua Hiraa’ ialah pada bulan Ramadan. Latihan uzlah yang baginda lakukan dari umur 36 hingga 40 tahun itu telah memantapkan rohani baginda s.a.w sehingga berupaya menerima tanggungjawab sebagai Rasul. Latihan semasa uzlah telah menyucikan hati baginda s.a.w dan meneguhkannya sehingga hati itu mampu menerangi akal untuk mentafsir wahyu secara halus dan lengkap. Wahyu yang dibacakan oleh Jibrail a.s hanyalah singkat tetapi Rasulullah s.a.w dapat menghayatinya, memahaminya dengan tepat, mengamalkannya dengan tepat dan menyampaikannya kepada umatnya dengan tepat meskipun baginda s.a.w tidak tahu membaca dan menulis.

Begitulah kekuatan dan kebijaksanaan yang lahir dari latihan semasa uzlah. Tanpa latihan dan persiapan yang cukup seseorang tidak dapat masuk ke dalam medan tafakur tentang ketuhanan. Orang yang masuk ke dalam medan ini tanpa persediaan dan kekuatan akan menemui kebuntuan. Jika dia masih juga merempuh tembok kebuntuan itu dia akan jatuh ke dalam jurang gila.

Orang awam hidup dalam suasana: “Tugas utama adalah menguruskan kehidupan harian dan tugas sambilan pula menghubungkan diri dengan Allah s.w.t”. Orang yang di dalam suasana ini sentiasa ada masa untuk apa juga aktiviti tetapi sukar mencari kesempatan untuk bersama-sama Allah s.w.t. Orang yang seperti ini jika diperingatkan supaya mengurangkan aktiviti kehidupannya dan memperbanyakkan aktiviti perhubungan dengan Allah s.w.t mereka memberi alasan bahawa Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat baginda s.a.w tidak meninggalkan dunia lantaran sibuk dengan Allah s.w.t. Mereka ini lupa atau tidak mengerti bahawa Rasulullah s.a.w dan para sahabat telah mendapat wisal atau penyerapan hal yang berkekalan. Hati mereka tidak berpisah lagi dengan Allah s.w.t. Kesibukan menguruskan urusan harian tidak membuat mereka lupa kepada Allah s.w.t walau satu detik pun. Orang yang mata hatinya masih tertutup dan cermin hatinya tidak menerima pancaran Nur Sir, tidak mungkin hatinya berhadap kepada Allah s.w.t ketika sedang sibuk melayani makhluk Allah s.w.t. Orang yang insaf akan kelemahan dirinya akan mengikuti jalan yang dipelopori oleh Rasulullah s.a.w dan diikuti oleh para sahabat iaitu memisahkan diri dengan semua jenis kesibukan terutamanya pada satu pertiga malam yang akhir. Tidak ada hubungan dengan orang ramai. Tidak dikunjung dan tidak mengunjungi. Tidak ada surat khabar, radio dan televisyen. Tidak ada perhubungan dengan segala sesuatu kecuali perhubungan dengan Allah s.w.t.

Dalam perjalanan tarekat tasauf amalan uzlah dilakukan dengan bersistematik dan latihan yang demikian dinamakan suluk. Orang yang menjalani suluk dinamakan murid atau salik. Si salik menghabiskan kebanyakan daripada masanya di dalam bilik khalwat dengan diawasi dan dibimbing oleh gurunya. Latihan bersuluk memisahkan salik dengan hijab yang paling besar bagi orang yang baharu menjalani jalan kerohanian iaitu pergaulan dengan orang ramai. Imannya belum cukup teguh dan mudah menerima rangsangan daripada luar yang boleh menggelincirkannya untuk melakukan maksiat dan melalaikan hatinya daripada mengingati Allah s.w.t. Apabila dia dipisahkan dari dunia luar jiwanya lebih aman dan tenteram mengadakan perhubungan dengan Allah s.w.t.

Semasa beruzlah, bersuluk atau berkhalwat, si murid bersungguh-sungguh di dalam bermujahadah memerangi hawa nafsu dan tarikan duniawi. Dia memperbanyakkan sembahyang, puasa dan berzikir. Dia mengurangkan tidur kerana memanjangkan masa beribadat. Kegiatan beribadat dan pelepasan ikatan nafsu dan duniawi menjernihkan cermin hatinya. Hati yang suci bersih menghala ke alam ghaib iaitu Alam Malakut. Hati mampu menerima isyarat-isyarat dari alam ghaib. Isyarat yang diterimanya hanyalah sebentar tetapi cukup untuk menarik minatnya bagi mengkaji apa yang ditangkap oleh hatinya itu. Terjadilah perbahasan di antara fikirannya dengan dirinya sendiri. Pada masa yang sama dia menjadi penanya dan penjawab, murid dan pengajar. Perbahasan dengan diri sendiri itu dinamakan tafakur.

Pertanyaan timbul dalam fikirannya namun, fikirannya tidak dapat memberi jawapan. Ketika fikirannya meraba-raba mencari jawapan, dia mendapat bantuan daripada hatinya yang sudah suci bersih. Hati yang berkeadan begini mengeluarkan nur yang menerangi akal, lalu jalan fikirannya terus menjadi terang. Sesuatu persoalan yang pada mulanya difikirkan rumit dan mengelirukan, tiba-tiba menjadi mudah dan terang. Dia mendapat jawapan yang memuaskan hatinya kepada persoalan yang dahulunya mengacau fikiran dan jiwanya. Dia menjadi bertambah berminat untuk bertafakur menghuraikan segala kekusutan yang tidak dapat dihuraikannya selama ini. Dia gemar merenung segala perkara dan berbahas dengan dirinya, menghubungkannya dengan Tuhan sehingga dia mendapat jawapan yang memuaskan hatinya. Semakin dia bertafakur semakin terbuka kegelapan yang menutupi fikirannya. Dia mula memahami tentang hakikat, hubung-kait antara makhluk dengan Tuhan, rahsia Tenaga Ilahi dalam perjalanan alam dan sebagainya.

Isyarat-isyarat tauhid yang diterima oleh hatinya membuat mata hatinya melihat bekas-bekas Tangan Allah s.w.t dalam alam maya ini. Dia dapat melihat bahawa semuanya adalah ciptaan Allah s.w.t, gubahan-Nya, lukisan-Nya dan peraturan-Nya. Hasil dari kegiatan bertafakur tentang Tuhan membawa dia bermakrifat kepada Allah s.w.t melalui akalnya. Makrifat secara akal menjadi kemudi baginya untuk mencapai makrifat secara zauk.

Dalam pengajian ketuhanan akal hendaklah tunduk mengakui kelemahannya. Akal hendaklah sedar bahawa ia tidak mampu memahami perkara ghaib. Oleh itu akal perlu meminta bantuan hati. Hati perlu digilap supaya bercahaya. Dalam proses menggilap hati itu akal tidak perlu banyak mengadakan hujah. Hujah akal melambatkan proses penggilapan hati. Sebab itulah Hikmat 12 menganjurkan supaya mengasingkan diri. Di dalam suasana pengasingan nafsu menjadi lemah dan akal tidak lagi mengikut telunjuk nafsu. Baharulah hati dapat mengeluarkan cahayanya. Cahaya hati menyuluh kepada alam ghaib. Apabila alam ghaib sudah terang benderang baharulah akal mampu memahami hal ketuhanan yang tidak mampu dihuraikannya sebelum itu.


[Baca selanjutnya...]

SYARAH AL HIKAM 87: ORANG YANG MENGENAL ALLAH

TAJUK 87:
ORANG YANG MENGENAL ALLAH


BUKANLAH ORANG ARIF ORANG YANG MEMPEROLEHI ISYARAT LALU MERASAKAN ALLAH S.W.T LEBIH DEKAT DARI ISYARATNYA. ORANG ARIF ADALAH ORANG YANG TIDAK MENYEDARI ISYARAT KERANA FANA DALAM WUJUD ALLAH S.W.T DAN DILIPUTI OLEH SYUHUD (PENYAKSIAN) KEPADA ALLAH S.W.T.

Hikmat yang lalu menggambarkan keadaan orang awam yang dihijab oleh cahaya dunia dan syaitan sehingga mereka tidak jadi untuk berbuat taat kepada Allah s.w.t. Hikmat 87 ini pula menggambarkan keadaan orang yang berjalan pada jalan Allah s.w.t dan sudah pun mengalami hakikat-hakikat tetapi cahaya hakikat masih menjadi hijab antaranya dengan Allah s.w.t. Pengalaman tentang hakikat menurut istilah tasauf dipanggil isyarat tauhid. Isyarat-isyarat tersebut apabila diterima oleh hati maka hati akan mendapat pengertian tentang Allah s.w.t. Isyarat-isyarat demikian membuatnya berasa hampir dengan Allah s.w.t. Orang yang berasa hampir dengan Allah s.w.t tetapi masih melihat kepada isyarat-isyarat tersebut masih belum mencapai makam arifbillah. Orang arifbillah sudah melepasi isyarat-isyarat dan sampai kepada Allah s.w.t yang tidak boleh diisyaratkan lagi. Makam ini dinamakan fana-fillah atau lebur kewujudan diri dalam Wujud Mutlak dan penglihatan mata hati tertumpu kepada Allah s.w.t semata-mata, iaitu dalam keadaan:

Tiada sesuatu sebanding dengan-Nya.


Tidak ada nama yang mampu menceritakan tentang Zat-Nya. Tidak ada sifat yang mampu menggambarkan tentang Zat-Nya. Tidak ada isyarat yang mampu memperkenalkan Zat-Nya. Itulah Allah s.w.t yang tidak ada sesuatu apa pun menyerupai-Nya. Maha Suci Allah s.w.t dari apa yang disifatkan. 

Murid yang berjaya dalam perjalanannya mengalami berbagai-bagai hal. Pengalaman tersebut datang sebagai isyarat-isyarat yang tiba-tiba sahaja tercetus di dalam hati, dan hati tiba-tiba sahaja dapat menangkap sesuatu yang ghaib dan berkaitan dengan ketuhanan. Pengalaman hati tersebut mencetuskan daya tafakur. Hasil dari tafakur dapatlah dia memahami tentang Tuhan. Pengetahuan tentang ketuhanan itu membuatnya merasakan hampir dengan Tuhan. Murid pada peringkat ini dapat melihat kelebihan tauhid yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya. Ini menunjukkan dia masih berdalilkan pengalaman kerohaniannya secara tidak sedar bagi mendapat penjelasan tentang tauhid.

Berbeza keadaannya daripada orang arifbillah yang tidak lagi melihat kepada tauhid kerana dia sendiri telah fana di dalam tauhid. Orang arifbillah mencapai kefanaan yang mutlak setelah melalui empat peringkat kematian, dipanggil mati tabii, mati maknawi, mati surri dan mati hisi. Mati cara ini bukanlah kematian tubuh badan tetapi ia adalah pelenyapan segala sesuatu selain Allah s.w.t secara berperingkat-peringkat dari alam kebatinan seseorang. Ia diistilahkan sebagai mati kerana pengalaman demikian hanya berlaku setelah rohani seseorang dapat melepasi kurungan duniawi dan masuk ke alam kebatinan yang mendalam atau dikatakan dia terjun ke dalam dirinya sendiri. Rohani manusia bukanlah satu ruang seperti ruang-ruang yang ada di dunia. Rohani adalah Latifah Rabbaniah, perkara ghaib yang sangat seni dan dinisbahkan kepada Allah s.w.t, hanya Allah s.w.t mengetahui hakikatnya. Rohani boleh dihalusi kepada beberapa peringkat. Peringkat pertama dinamakan Latifah Kalbu (hati) yang menjadi asas kepada semua Latifah-Latifah. Ia juga dinamakan tubuh batin. Peringkat yang lebih mendalam dinamakan Latifah Roh yang dibahasakan sebagai roh haiwani iaitu nyawa yang menghidupkan tubuh badan. Latifah Roh menjadi batin kepada Latifah Kalbu. Batin kepada Latifah Roh pula dinamakan Latifah Sir yang dibahasakan sebagai roh insani, yang membekalkan bakat kehidupan kepada roh haiwani dan seterusnya menghidupkan jasad. Batin kepada Latifah Sir dinamakan Latifah Khafi dan batin yang paling dalam dinamakan Latifah Akhfa.

Bila terbuka medan Latifah kalbu, hati merasakan mati tabii. Kematian cara ini membuat fikiran tidak aktif. Hati mendapat keasyikan tentang alam ghaib dan dalam keasyikan itu pendengaran zahir tidak memberi kesan kepada hati dan fikiran. Dia tidak mendengar apa-apa lagi kecuali suara hatinya yang menyebut Allah, Allah, Allah! Kemudian, tanpa dipaksa-paksa lidahnya menyebut Allah, Allah, Allah! Setiap kali dia menyebut Allah hatinya merasakan seolah-olah Allah menjawab seruannya itu. Pada peringkat ini kesedaran diri lenyap di dalam lakuan Allah s.w.t. Pemikiran, perasaan dan keinginan tidak berfungsi lagi. Semua perkara terhapus, yang ada nur iman dan tauhid. Hatinya menghayati:

Tiada yang berbuat sesuatu melainkan Allah s.w.t.

Dalam keadaan demikian dia menghayati firman Allah s.w.t:

 “Padahal Allah menjadikan kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!” 
( Ayat 96 : Surah as-Saaffaat )


Dan tidaklah akan berkehendak, kecuali jika dikehendaki oleh Allah, 
( Ayat 29 : Surah at-Takwiir)

Orang yang memasuki alam kebatinan peringkat ini melihat pergerakan yang terjadi pada dirinya berlaku tanpa dia merancang dan juga dia tidak mampu menyekatnya dari berlaku. Keadaannya sama seperti orang yang melihat dirinya di dalam mimpi. Dia tidak berkuasa menyuruh atau melarang apa yang dirinya lakukan di dalam mimpi itu. Dia seakan-akan melihat orang lain, bukan dirinya sendiri. Pengalaman yang seperti di dalam mimpi itu dialami secara jaga oleh orang yang mencapai fana peringkat pertama atau memasuki suasana mati tabii. Oleh sebab dia melihat dengan jelas dan yakin akan perbuatan dirinya terjadi di luar bidang kekuasaannya, maka perbuatan itu dinafikan keluar dari dirinya dan diisbatkan kepada perbuatan Allah s.w.t. Dia menghayati bahawa Allah s.w.t jualah yang melakukan segala perkara.

Setelah melepasi medan Latifah kalbu seseorang itu masuk kepada medan Latifah Roh dan jika diizinkan Allah s.w.t dia berpeluang mengalami suasana mati maknawi. Dalam suasana mati maknawi, penglihatan mata zahir dikuasai oleh penglihatan mata hati. Mata zahir tidak lagi tertarik kepada alam benda. Dia seolah-olah melihat cermin yang ditembusi cahaya, maka sifat-sifat alam benda tidak berbekas pada pandangannya ketika mata hatinya memandang kepada sifat Allah s.w.t Yang Maha Sempurna dan Kekal. Kesedarannya terhadap sifat dirinya hilang dan dia dikuasai oleh suasana sifat Allah s.w.t. Penghayatan hatinya pada ketika ini adalah: 

Tiada yang hidup melainkan Allah s.w.t.


Kefanaan pada peringkat ini membuat seseorang melihat kepada keabadian. Dia tidak lagi melihat kepada jasad yang akan binasa dan tidak juga kepada dunia yang bersifat sementara. Dia dikuasai oleh suasana rohani yang tidak akan binasa kerana rohani hidup menumpang Hayat Allah s.w.t.

Setelah melepasi medan Latifah Roh dia masuk kepada medan Latifah Sir dan jika Allah s.w.t izinkan dia dapat merasakan suasana mati surri. Dalam suasana mati surri, segala kewujudan yang sementara dan sifat kemanusiaan terhapus dari alam kebatinannya. Dia masuk ke alam ghaib yang penuh dengan Nur Ilahi. Nama Allah s.w.t berbekas pada hatinya dan dia menghayati kenyataan:

Tiada yang terpuji melainkan Allah s.w.t. 

Orang yang mengalami kefanaan ini sudah terputus dari sifat-sifat kemanusiaan maka lahirlah perwatakan yang ganjil dan aneh, tidak secucuk dengan tatasusila dan adab masyarakat. Cara dia berpakaian, makan dan minum tidak seperti orang ramai lagi. Percakapannya sukar dimengerti dan kadang-kadang menyinggung perasaan orang lain. Mungkin juga terkeluar dari mulutnya ucapan yang pada zahirnya bersalahan dengan syariat.

Setelah melepasi Latifah Sir seseorang itu masuk ke dalam medan Latifah Khafi dan jika diizinkan Allah s.w.t dia berpeluang memasuki susana mati hisi. Dalam suasana ini apa juga yang mengisi alam ini lenyap dari alam perasaannya Tidak ada lagi pemikiran, perasaan, bahasa, ruang, masa, ukuran dan rupa bentuk. Dia mengalami suasana yang kosong, tiada isi, tiada rupa, tiada bahasa dan tidak boleh diperkatakan apa-apa.
Dia menghayati suasana: 

Tiada yang maujud secara mutlak melainkan Allah s.w.t.

 Semua yang lain dari Allah s.w.t binasa, Wujud Allah s.w.t yang tidak binasa. Keadaan kerohanian pada peringkat ini adalah:

Zat yang kosong dari makhluk, yang maujud hanya Allah s.w.t.

Setelah melepasi suasana kematian dalam empat Latifah itu seseorang itu masuk kepada batin yang paling dalam iaitu Latifah Akhfa. Dia sudah melepasi suasana fana dan masuk kepada suasana baqabillah atau kekal bersama-sama Allah s.w.t. Dia sentiasa bersama-sama Allah s.w.t baik ketika jaga mahu pun ketika tidur. Segala gerak gerinya merupakan ibadat. Mata hatinya sentiasa memandang kepada Allah s.w.t. Kesibukannya dengan apa jua urusan tidak melindungi penglihatan hakiki mata hatinya. Tampak nyata baginya: 

Tiada yang berkuasa melainkan Allah s.w.t; tiada yang berkehendak melainkan apa yang dikehendaki Allah s.w.t; tidak ada daya dan upaya melainkan daya dan upaya yang dari Allah s.w.t. Segala sesuatu datangnya dari Allah s.w.t dan kembali kepada-Nya.

Mata hatinya melihat bahawa segala kewujudan selain Zat Allah s.w.t, sifat Allah s.w.t, perbuatan Allah s.w.t dan asma’ Allah s.w.t hanyalah kewujudan yang tidak berhakikat. Inilah makam arifbillah, iaitu orang yang benar-benar mengenal Allah s.w.t. 



[Baca selanjutnya...]

SYARAH AL HIKAM 98: PENOLAKAN ALLAH S.W.T LEBIH BAIK DARIPADA PEMBERIAN MAKHLUK

TAJUK 98:
PENOLAKAN ALLAH S.W.T LEBIH BAIK DARIPADA PEMBERIAN MAKHLUK


PEMBERIAN DARI MAKHLUK ADALAH KERUGIAN DAN PENOLAKAN DARI ALLAH ADALAH KEBAIKAN.

Hikmat di atas merupakan ucapan ahli tauhid yang sebenarnya. Orang yang benar-benar bertauhid menghukumkan bahawa sekiranya beliau menerima sebarang pemberian makhluk sedangkan hatinya tidak melihat bahawa pemberian itu sebenarnya dari Allah s.w.t, maka dia menerima pemberian itu tanpa hak

Firman Allah s.w.t:

Allah jualah yang mencipta kamu; kemudian Ia memberi rezeki kepada kamu; sesudah itu Ia mematikan kamu; kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Allah itu sesiapa yang dapat berbuat sesuatu pun dari segala yang tersebut? Maha Suci Allah dan Tertinggi keadaan-Nya dari apa yang mereka sekutukan (dengan-Nya). 
( Ayat 40 : Surah ar-Ruum )

Firman-Nya lagi:




Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu) : “Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam?” (Dengan pertanyaaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: “Allah jualah yang menguasai segala-galanya!” Oleh itu, katakanlah: “(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertakwa?” 
( Ayat 31 : Surah Yunus )

Pegangan tauhid adalah jelas bahawa hanya Allah s.w.t yang berkuasa memberi sementara makhluk hanyalah ejen dalam menyampaikan pemberian itu. Menyambut pemberian dari tangan ejen dengan melupakan Pemberi yang sebenar adalah satu kesalahan yang layak jika dia dikatakan mengambil pemberian itu tidak secara hak. Al-Quran dengan jelas mengajarkan agar tidak berlaku syirik ketika menerima sesuatu, agar pemberian yang diterima itu menambahkan ketakwaan. tauhid juga mengajarkan:

Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 
( Ayat 1 – 2 : Surah al-Faatihah )


Allah s.w.t sahaja Tuhan sekalian alam. Dia menguruskan sekalian makhluk-Nya dengan kemurahan dan kasih sayang. Jika seorang ibu sangat kasih dan mengambil berat tentang anaknya, maka lebih lagi kasih sayang dan perhatian Allah s.w.t kepada makhluk-Nya. Tanda Allah s.w.t mengasihi dan memberi perhatian kepada makhluk-Nya adalah Dia telah mengadakan ketentuan dan pembahagian sejak azali, lama sebelum makhluk diciptakan. Allah s.w.t telah pun mengadakan persediaan yang lebih dari cukup untuk menyambut makhluk yang akan diciptakan-Nya. Setiap makhluk yang Dia ciptakan, sekali pun sebesar zarah, telah pun ditentukan haknya sebelum ia diciptakan. Apabila makhluk sekaliannya diciptakan, masing-masing sudah dinanti oleh hak masing-masing, sudah ada habuan untuk mereka, hanya menunggu masa untuk menerimanya. Tidak ada makhluk yang diciptakan tanpa perkiraan dan habuan untuknya. Apa juga yang diterima oleh makhluk merupakan apa yang Allah s.w.t telah sediakan untuknya. Oleh itu, sangatlah tidak mengenang budi, sesiapa yang menerima sesuatu pemberian tetapi tidak melihat Allah s.w.t sebagai Pemberi yang sebenar. Allah s.w.t telah memberi jaminan:

Ia telah menetapkan atas diri-Nya memberi rahmat. 
( Ayat 12 : Surah al-An’aam )

Jika ada di antara hamba-Nya yang tidak memperolehi apa yang dia inginkan, sebenarnya penolakan itu adalah rahmat juga dari Allah s.w.t.


Dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedangkan kamu tidak mengetahuinya. 
( Ayat 216 : Surah al-Baqarah )



Allah s.w.t menolak permintaan kamu kerana Allah s.w.t mahu menyelamatkan kamu dari kemudaratannya. Kamu tidak mengetahui tetapi Allah s.w.t mengetahui bahaya tersebut. Tanda kasihnya kepada kamu dielakkan bahaya itu daripada kamu walaupun kamu menyangkal. Orang yang mengenali sifat Pemurah dan Penyayang Allah s.w.t akan berasa tenang dan bersyukur tatkala menerima penolakan dari Allah s.w.t kerana dia yakin bahawa Allah s.w.t telah menyelamatkannya dari sesuatu bahaya dengan penolakan itu. Jadi, penolakan itu adalah ihsan Allah s.w.t kepada hamba-Nya yang lemah, jahil, tidak mengetahui apa yang tersembunyi dan tidak kuat menyelamatkan diri sendiri. Hanya Allah s.w.t yang telah mewajibkan Diri-Nya memberi rahmat yang bertindak menyelamatkan hamba-Nya walaupun si hamba itu sendiri tidak menyenanginya. Sekiranya Allah s.w.t menurut sahaja apa yang diingini oleh hamba-Nya tentu sahaja alam ini penuh dengan kebinasaan. 


[Baca selanjutnya...]

SYARAH AL HIKAM 115 & 116: TAKDIR ADALAH UJIAN ALLAH

TAJUK 115 DAN 116:
TAKDIR ADALAH UJIAN ALLAH


SEHARUSNYA TIDAK MENEKAN (JIWA KAMU) OLEH BALA YANG MENIMPA KAMU KERANA KAMU MENGETAHUI BAHAWA TUHAN MENGUJI KAMU DAN DIA YANG MENIMPAKAN KAMU DENGAN TAKDIR-NYA ADALAH TUHAN YANG BIASA MEMBERIKAN KEPADA KAMU YANG BAIK-BAIK YANG DIPILIH UNTUK KAMU.

SESIAPA YANG MENYANGKA TIADA KEHALUSAN HIKMAT PADA TAKDIR YANG MENIMPANYA, ITU ADALAH KERANA SINGKAT PANDANGAN (MATA HATINYA).


Seseorang itu memiliki dua aspek kewujudan. Pertama ialah yang diciptakan dari ‘adam, dinamakan kewujudan zahir. Ia menjadi sarang, sarung atau bekas yang tidak mempunyai sebarang daya dan upaya, tidak boleh mendengar, melihat, berkata-kata, merasa, bergerak dan lain-lain. Ia boleh dianggap sebagai alat yang hanya menurut si pengguna alat itu. Kewujudan zahir pada hakikatnya tidak wujud. Kewujudan aspek kedua adalah kewujudan rohani yang dinisbahkan kepada Allah s.w.t, tidak kepada ‘adam. Wujud rohani inilah wujud yang sebenar, iaitu yang dibahasakan sebagai diri, hati, nafsu dan ungkapan “AKU”. Gabungan dua jenis kewujudan tersebut dinamakan manusia. Jika manusia itu tidak mempunyai jasad, iaitu jika ia hanya berada dalam aspek rohani sahaja, maka ia adalah malaikat. Jika ia hanya mempunyai jasad sahaja, maka ia adalah mayat.


Wujud yang datang dari ‘adam kembali kepada ‘adam, akan rosak binasa dan hilang terus. Ia bermula dari tiada dan kesudahannya pun tiada juga. Tidak ada apa-apa yang dapat dipertahankan dari kewujudan jenis ini. Ia juga tidak dapat dipertanggungjawabkan kerana apabila ia binasa tanggungjawabnya juga binasa. Fungsi kewujudan yang dari ‘adam ini adalah menjadi alat kepada wujud rohani. Wujud rohani memerintah dan menggunakan wujud ‘adam (benda). ‘Adam dalam keadaan aslinya sebagai ‘adam tidak memiliki sebarang pengaruh atau kesan. Tetapi, bila ia menerima nikmat penciptaan, diberi suasana kebendaan, memakai berbagai-bagai rupa, maka ia juga diberi keupayaan untuk merangsang, mempengaruh dan menarik. Semua keupayaan tersebut tertuju kepada rohani. Alam benda yang diciptakan dari ‘adam bertindak sebagai besi berani menarik rohani agar menghadap kepadanya. Tindakan dan kesan dari alam benda kepada rohani itu dinamakan ujian. Semua yang diciptakan oleh Allah s.w.t menjadi alat yang menguji rohani. Benda-benda alam, kejadian dan pengalaman merupakan alat-alat yang menyampaikan ujian, tetapi bukanlah ujian itu sendiri. Ujian yang sebenar adalah cetusan yang lahir dalam hati ketika menerima kedatangan benda-benda alam, kejadian dan peristiwa. Misalnya, kematian orang yang dikasihi dialami oleh semua orang tetapi reaksi hati masing-masing tidak sama. Ada orang yang menangis, meraung, menghempaskan badannya ketika menghadapi kematian orang yang dikasihi itu. Ada pula orang yang menerimanya dengan tenang. Kejadian yang dihadapi adalah sama tetapi kesannya pada hati tidak sama. Orang yang menangis dan meraung merasakan dia menghadapi ujian yang sangat hebat. Orang yang bertenang tidak merasakan sebarang ujian, malah dia menganggap apa yang berlaku sebagai takdir Allah s.w.t. Apa yang mesti berlaku apabila berlaku tidak dianggapnya sebagai ujian. Semuanya adalah takdir. Misal yang lain pula, ada orang yang tidak dapat tidur lena kerana ada orang yang telah menyindirnya. Dirasakannya peristiwa itu sebagai bala yang sangat besar. Orang lain pula menganggap sindiran sebagai gurauan yang remeh-temeh, tidak perlu disimpan di dalam hati. Sebenarnya apa yang berlaku dan apa yang orang lain kata tidak memberi sebarang kesan. Perkara yang memberi kesan adalah apa yang diri sendiri tekankan kepada dirinya. Benda-benda alam, kejadian dan peristiwa tidak mampu menekan jiwa seseorang. Orang itulah yang menekan jiwanya sendiri.

Segala yang dihadapi oleh seseorang itu dinamakan takdir. Takdir tidak menekan jiwa seseorang. Takdir adalah pembahagian yang Allah s.w.t telah tetapkan bagi setiap hamba-Nya. Tuhan yang membahagikan takdir itu adalah Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Takdir yang dipilih untuk hamba-Nya berada dalam sempadan kasihan belas dan kehalusan budi-Nya. Dia tidak berlaku kejam dan zalim kerana kejam dan zalim bukanlah sifat-Nya. Jika kita salah mentafsirkan kehalusan pembahagian takdir-Nya yang penuh dengan hikmat kebijaksanaan, itu adalah kerana kejahilan diri kita sendiri, ditambah lagi dengan lemahnya iman di hati.

Ilmu dan iman adalah pertahanan hati. Jika pertahanan ini lemah mudahlah bagi musuh-musuhnya mengenakan tipu daya yang menyebabkan apa sahaja yang mengenainya akan menjadi bala. Kekayaan akan membuatnya tamak. Kekuasan akan membuatnya hilang pedoman. Ilmu membuatnya ego. Apa juga yang dimilikinya tidak membuatnya berasa tenteram. Jiwanya sentiasa keresahan. Inilah orang yang tidak lepas dari ujian dan bala.

Hikmat yang menyentuh tentang ujian ini dikemukakan selepas disentuh tentang Sir dan Nur sifat Allah s.w.t yang membawa kita mengingati hamba-hamba pilihan iaitu para anbia. Mereka merupakan golongan yang paling banyak menerima ujian. Ujian merupakan perjalanan hidup nabi-nabi. Mereka telah memberi petunjuk bagaimana cara menghadapi ujian. Alat menghadapi ujian adalah berserah diri kepada Allah s.w.t. Di dalamnya ada sabar dan syukur. Ujian bala dihadapi dengan sabar dan ujian nikmat dihadapi dengan syukur. 
Hati yang disinari oleh Sir yang menerima sinaran Nur sifat Allah s.w.t berpandangan jauh, mampu menyaksikan hikmah pada setiap perbuatan Allah s.w.t, baik dalam bala mahupun dalam nikmat. Bala dan nikmat tidak menghijab hati untuk melihat keadilan-Nya, kemurahan-Nya, kasih sayang-Nya, kasihan belas-Nya dan kebijaksanaan-Nya. 



[Baca selanjutnya...]

SYARAH AL HIKAM 124: SIKAP ORANG LALAI DAN ORANG BERAKAL

TAJUK 124:
SIKAP ORANG LALAI DAN ORANG BERAKAL



ORANG LALAI (DARI PEGANGAN TAUHID), TATKALA DATANG WAKTU PAGI DIA MEMIKIRKAN APA YANG HARUS DIKERJAKANNYA. ORANG YANG BERAKAL (BERTAUHID) MENERIMA PEKERJAAN YANG DITAKDIRKAN ALLAH S.W.T UNTUKNYA.

Manusia berada dalam salah satu dari dua keadaan. Jika kuat satu keadaan lemahlah keadaan yang satu lagi. Dua keadaan itu adalah pertama perhatian kepada dirinya sendiri dan kedua adalah perhatian kepada Tuhannya. Jika dia asyik kepada dirinya lalailah dia kepada Tuhannya. Jika dia asyik kepada Tuhannya lalailah dia kepada dirinya. Orang yang lemah tauhidnya akan asyik kepada dirinya dan menjadi lalai daripada mengingati Tuhannya. Orang ini mungkin kuat mengerjakan amal ibadat dan berbuat kebaikan kepada sesama makhluk. Tetapi, keasyikan kepada diri sendiri membuatnya melihat amal dan perbuatan sebagai hasil yang keluar dari dirinya kerana dirinya dan kembali kepada dirinya. Jika dia melihat Tuhan maka dilihatnya Tuhan memberinya kebebasan untuk melakukan apa yang dia kehendaki. Dirasakan seolah-olah Tuhan tidak mengganggu pekerjaannya. Dia berpegang kepada kenyataan bahawa Tuhan tidak mengubah nasib sesuatu kaum sebelum kaum itu mengubah nasibnya. Oleh itu, nasib dirinya terletak dalam tangannya sendiri. Dan, Tuhan memberinya nasib menurut usaha yang disumbangkannya. Bagi menjamin dia mendapat nasib yang baik maka dia membuat perancangan yang rapi dan mengambil tindakan yang berkesan. Dia memulakan harinya dengan menyusun jadual yang wajib ditaatinya untuk hari itu. Untung malang nasibnya bergantung kepada kemampuannya untuk merialisasikan apa yang dirancangkannya.


Manusia yang berpegang kepada prinsip demikian adalah benar menurut aspek dirinya tetapi adalah orang yang lalai menurut aspek ketuhanan yang menguasai dirinya. Pengagungan kekuatan diri sendiri akan memperkecilkan kekuatan Maharaja yang memerintah sekalian alam maya ini. Prinsip yang demikian menambahkan ego dirinya dan menjauhkannya dari merendahkan diri kepada Tuhannya, walaupun banyak ibadat dan perbuatan baik yang dikerjakannya. Amal yang banyak menyebabkannya menjadi ujub, riak dan sama’ah. Amal yang demikian tatkala dibawa ke neraca hisab di akhirat kelak ia akan berterbangan seperti debu. Ia tidak dapat menolong tuannya kerana orang itu menjadikan dirinya sebagai tapak untuk meletakkan amalnya. Di Padang Mahsyar dirinya sendiri tidak berdaya berdiri di hadapan Hakim Yang Maha Perkasa. Bila dia rebah, rebah jugalah amalnya.

Sekiranya kita mahu amal dapat berdiri tegak binalah ia di atas tapak tauhid. Pandangan tauhid melihat apa yang dari Allah s.w.t, berdiri dengan Allah s.w.t dan kembali kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t yang memiliki dan menguasai sekalian alam serta isi dan kejadian yang berlaku di dalamnya. Tidak bergerak walau sebesar zarah melainkan dengan izin-Nya. Tidak terjadi sesuatu perkara melainkan dengan Kudrat dan Iradat-Nya. Allah s.w.t telah menentukan Qadak sebelum Dia menzahirkan Qadar. Setiap yang berlaku adalah menurut ketentuan-Nya. Orang yang berpegang pada prinsip ini menyambut kedatangan pagi dengan persiapan untuk menerima ketibaan takdir Ilahi. Dia tahu bahawa apa yang Allah s.w.t takdirkan untuknya hari itu pasti sampai kepadanya. Tidak ada sesiapa yang boleh mengubahnya. Bergeraklah dia dengan sepenuh tenaga mendukung takdir yang diamanatkan kepadanya. Jangan menganggap orang yang bepegang kepada prinsip tauhid sebagai orang yang pasif, hanya berpeluk tubuh. Dia tetap aktif dengan berbagai-bagai aktiviti, melebihi orang yang berpegang kepada prinsip yang pertama. Perbezaan antara keduanya adalah daya rasa dan daya nilai. Pekerjaan dan perbuatan adalah serupa. Orang yang pertama merasakan dialah yang melahirkan amal. Dia melihat dirinya yang melakukan amal. Orang kedua melihat dirinya adalah alat, dan Allah s.w.t adalah Pelaku yang menggunakan alat. Dia melihat dirinya dipilih oleh Allah s.w.t bagi menzahirkan sesuatu perbuatan. Oleh sebab perbuatan yang ditakdirkan untuknya itu menjadi amanat Allah s.w.t kepadanya maka dia melakukannya sebaik mungkin menurut kadar kemampuan yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya dan dia mengharapkan perbuatan yang lahir dari dirinya itu diredai Allah s.w.t. Orang seperti ini tidak panik menerima kedatangan peristiwa besar secara mendadak kerana dia melihat bahawa peristiwa tersebut adalah takdir Allah s.w.t yang sedang berjalan dan dia berada di tengah jalan laluan takdir itu, lalu dia menerimanya dengan senang hati. Dia yakin bahawa Allah s.w.t yang mendatangkan takdir dalam bentuk peristiwa maka Dia juga yang melahirkan kesan dari peristiwa berkenaan.

Apabila seseorang itu berfungsi mengikut urutan takdir dia dapat menerima akibat daripada takdir itu walaupun akibat itu tidak menguntungkannya. Jika akibat yang baik sampai kepadanya dia yakin bahawa Allah s.w.t akan memeliharanya agar tidak terjadi sia-sia kebaikan yang diterimanya dan dia bersyukur. Jika akibat buruk yang sampai kepadanya dia yakin bahawa Allah s.w.t akan menguatkannya dengan kesabaran dan keredaan. Hati yang benar-benar bertauhid tidak dapat diganggu gugat oleh apa-apa pun.



[Baca selanjutnya...]

SYARAH AL HIKAM 126 & 127: KERINDUAN UNTUK MELIHAT ALLAH S.W.T

TAJUK 126 DAN 127:
KERINDUAN UNTUK MELIHAT ALLAH S.W.T

KAMU DIANJURKAN KETIKA HIDUP KINI SUPAYA MEMPERHATIKAN CIPTAAN-NYA DAN AKAN DIPERLIHATKAN KEPADA KAMU DI AKHIRAT KELAK AKAN KESEMPURNAAN ZAT-NYA.

ALLAH S.W.T MENGETAHUI AKAN KEADAAN KAMU YANG TIDAK SABAR MERINDUI UNTUK MELIHAT-NYA, MAKA DIPERLIHATKAN KEPADA KAMU KEASLIAN CIPTAAN-NYA.

Hamba Allah s.w.t yang sampai kepada makam makrifat akan berhadapan dengan suasana kehairan-hairanan, di mana segala pertunjukan hilang, segala isyarat lenyap dan segala bahasa menjadi kelu. Allah s.w.t tidak dapat dilihat, tidak dapat diisyaratkan dan tidak dapat dibahasakan. Itulah zat Ilahiat Yang Maha Tinggi, tidak dapat disentuh oleh pandangan, ilmu atau makrifat. Para hamba yang mencintai-Nya akan menderita merindui-Nya. Walau bagaimana pun kerinduan namun, tidak ada cara untuk melihat Zat-Nya Yang Maha Sempurna. Tinggallah hamba dengan hatinya terbakar merindui Kekasih Yang Maha Tinggi, Maha Sempurna, tidak berkuasa dia mencapai-Nya. Hamba yang dalam keadaan begini terpisah jauh dari alam dan isinya. Hatinya kosong dari sekalian makhluk. Pandangannya tidak terlekat pada apa yang dipandang. Dia berada dalam satu suasana ‘di luar’ dari segala sesuatu. Dia berada pada zaman sebelum alam diciptakan, zaman yang tidak ada waktu dan masa, bahkan zaman itu sendiri tidak ada. Hatinya dikuasai oleh keabadian kerana sifat kemakhlukannya sudah hilang. Dia memandang kepada Qadak dan tidak terlihat lagi Qadar. Dia lupa kepada dirinya dan tidak tahu apakah zat dirinya. Dia merasakan telah memasuki satu alam ghaib dan terus menerus ghaib, maha ghaib sehingga dirinya hilang dalam keghaiban itu, bahkan ghaib itu juga hilang. Dirinya tidak boleh ditemui lagi dan dia tidak mengetahui siapakah dirinya yang berdiri di atas muka bumi. Banyak lagi perasaan yang menyelimuti hati seseorang tatkala berada dalam suasana kehairan-hairanan.


Jika seseorang pernah merindui seorang gadis yang sangat dicintainya, ketahuilah bahawa kerinduan terhadap Allah s.w.t yang dicintai lebih hebat lagi membakar hati. Orang boleh berdiri tegak selama satu minggu tanpa berkelip matanya lantaran tidak tahan merindui Allah s.w.t, Kekasih sejati. Orang yang sedang merindui Allah s.w.t boleh masuk ke dalam api tanpa terbakar bulu romanya, boleh masuk ke dalam laut tanpa tenggelam. Peringkat ini dinamakan peringkat bahaya, kerana orang ramai yang memahami dan bersimpati dengan pemuda yang menderita kerana merindui gadis yang dicintainya, tidak mengerti rindu-dendam hati yang merindui Allah s.w.t. Tidak ada makhluk yang boleh mengubati hatinya. Tidak ada air yang boleh menghilangkan dahaganya. Kecintaan dan kerinduan yang melanda hatinya membebaskannya dari sekalian yang maujud, mengganggu hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan. Banyak terjadi fitnah terhadap dirinya. Jika dia berlarutan dalam keadaan begitu dia akan terpisah dari menjadi penduduk bumi dan tidak juga menjadi penduduk langit. Dia tidak memikul beban penduduk bumi dan tidak pula memikul beban penduduk langit. Penduduk bumi tenggelam dalam kerakusan terhadap perhiasan dunia dan memperhambakan diri kepada hawa nafsu. Penduduk langit asyik dengan memuji dan memuja Allah s.w.t, berzikir dan membesarkan Nama-Nya. Para pencinta Allah s.w.t bebas dari kedua-duanya dan dia masuk ke dalam makam Sir (Rahsia), rahsia antara Tuhan dengan hamba-Nya. Si hamba menjadi hamba Tuhan secara mutlak iaitu secara awal, akhir, zahir dan batin. Dia menanti warna celupan yang Allah s.w.t akan pakaikan kepadanya. Apabila Allah s.w.t telah mewarnai dirinya mengikut kehendak-Nya sendiri, si hamba itu dikembalikan kepada keinsanannya, menjadi hamba Rabbani yang pekerjaannya hanyalah menjalankan perintah Allah s.w.t yang mengenai dirinya dan juga orang lain. Hamba Rabbani melaksanakan perintah Allah s.w.t tanpa bertangguh dan tanpa timbang-tara. Setiap hukum dijalankan dengan tepat.

Hamba yang kembali kepada keinsanan memiliki semula kesedaran individunya. Dia menyedari dirinya dan makhluk lainnya. Dia kembali memerhatikan alam dan isinya. Kali ini dia melihat ciptaan Tuhan dalam keadaannya yang asli. Pandangannya tidak lagi tertipu oleh kesan ‘adam terhadap alam. Apabila kesan ‘adam telah terhapus dari pandangan dapatlah dia melihat bahawa Allah s.w.t meliputi sekalian kejadian-Nya. Ke mana pun dihalakan pandangan di situlah Wajah Allah s.w.t. Dia melihat ketuhanan Allah s.w.t dalam segala perkara. Ini membuat hatinya terubat dan dia merasai kedamaian sekalipun tidak melihat Zat Allah s.w.t Yang Maha Sempurna. Alam maya ini menjadi kitab yang nyata (kitabul mubin) untuknya berhubung dengan Allah s.w.t, menjadi cermin yang memanjangkan bayangan Tuhan kepada hatinya. Dia tidak lagi tertanya-tanya di manakah Allah s.w.t kerana Dia tidak pernah berpisah darinya dan juga tidak berpisah dengan kejadian-Nya yang lain. Terlepaslah dia dari kekacauan kalbu yang dihadapi oleh ahli ibadat dan ahli zuhud yang diceritakan oleh Hikmat 125 yang lepas. Makam keteguhan ini adalah makam Sir (Rahsia hati) dan makam Sir inilah yang memperolehi sembahyang berkekalan (salat daim) kerana Sir tidak pernah berhenti dan tidak pernah berpaling dari menghadap Allah s.w.t. Makam ini hanya disediakan kepada hamba pilihan yang telah membuang segala kepentingan diri sendiri, reda dengan Allah s.w.t dan menjual dirinya kepada Allah s.w.t dengan harga sabar, reda, tawakal dan ikhlas. Allah s.w.t memakaikan kepadanya pakaian hamba kepada Maharaja sekalian kerajaan! 


[Baca selanjutnya...]

Jumaat, 20 Mei 2011

SYARAH AL HIKAM 80: TANDA KEJAHILAN AHLI HAKIKAT

TAJUK 80:
TANDA KEJAHILAN AHLI HAKIKAT

JIKA KAMU MELIHAT SESEORANG (AHLI HAKIKAT) MENJAWAB SETIAP PERTANYAAN DAN MENERANGKAN SETIAP PENGLIHATAN (MATA HATI) DAN MENCERITAKAN SETIAP YANG DIKETAHUINYA, MAKA KETAHUILAH BAHAWA YANG DEMIKIAN ITU ADALAH TANDA KEJAHILANNYA.


Manusia digesa supaya menggunakan akal fikirannya untuk mengkaji tentang kejadian-kejadian alam maya ciptaan Tuhan Maha Pencipta. Semakin mendalam pengetahuan tentang ciptaan Allah s.w.t, semakin kelihatan kebesaran dan keagungan-Nya. Bertambah pula keinsafan tentang kelemahan yang ada pada diri manusia terutamanya dalam menghuraikan hal ketuhanan. Ilmu pengetahuan yang mahir dalam perbahasan tentang makhluk menjadi tidak bermaya apabila mencuba menyingkap Rahsia-rahsia ketuhanan. Bila mengakui akan kejahilan dirinya seseorang itu menyerahkan dirinya dengan beriman kepada Allah s.w.t. Penyerahan ini dinamakan aslim dan orang yang berbuat demikian dinamakan orang Islam. Orang yang beriman tidak membahaskan tentang Allah s.w.t kerana mereka mengakui kelemahan akal dalam bidang tersebut.

Bidang yang tidak dapat diterokai oleh akal masih mampu dijangkau oleh hati. Hati yang suci bersih mengeluarkan cahayanya yang dinamakan Nur Kalbu. Nur Kalbu menerangi akal dan bersuluhkan cahaya Nur Kalbu ini, akal dapat menyambung kembali perjalanannya dari ‘stesen’ ia telah berhenti. Perjalanan akal yang diterangi oleh cahaya Nur Kalbu mampu menyingkap perkara-perkara yang ghaib dan beriman dengannya walaupun akal manusia umum menafikannya.

Terdapat perbezaan yang besar antara akal biasa dengan akal yang diterangi oleh nur. Akal biasa beriman kepada Allah s.w.t berdasarkan dalil-dalil yang nyata dan logik. Akal yang beserta nur mampu menyelami di bawah atau di sebalik yang nyata iaitu perkara ghaib, dan beriman kepada Allah s.w.t berdasarkan pengalaman tentang perkara-perkara ghaib. Walaupun perkara ghaib itu tidak dapat diterima oleh akal biasa, tetapi akal yang bersuluhkan nur tidak sedikit pun ragu-ragu terhadapnya. Pengetahuan yang terhasil dari cetusan atau tindakan nur ini dinamakan ilmu hakikat, ilmu ghaib, ilmu Rabbani atau ilmu laduni. Walau apa pun istilah yang digunakan, ia adalah pengetahuan tentang ketuhanan yang didapati dengan cara mengalami sendiri tentang hal-hal ketuhanan, bukan menurut perkataan orang lain, dan juga bukan menurut sangkaannya sendiri. Hatilah yang mengalami hal-hal tersebut dan pengalaman ini dinamakan pengalaman rasa, zauk atau hakikat. Apa yang dialami oleh hati tidak dapat dilukiskan atau dibahasakan. Lukisan dan bahasa hanya sekadar menggerakkan pemahaman sedangkan hal yang sebenar jauh berbeza. Jika hal pengalaman hati dipegang pada lukisan dan bahasa ibarat, maka seseorang itu akan menjadi keliru. Jika lukisan dan simbol diiktikadkan sebagai hal ketuhanan maka yang demikian adalah kufur!

Pemegang ilmu ghaib terdiri daripada dua golongan. Golongan pertama adalah orang yang terlebih dahulu memasuki bidang pembelajaran tentang tauhid dan latihan penyucian hati menurut tarekat tasauf. Pembelajaran dan latihan yang mereka lakukan tidak membuka bidang hakikat. Ini membuat mereka mengerti akan nilai dan kedudukan ilmu ghaib yang sukar diperolehi itu. Mereka hanya dapat belajar, melatih diri, kemudian menanti dan terus menanti. Jika Allah s.w.t berkenan maka dikurniakan sinaran nur yang menerangi hati si murid itu. Si murid itu pun mengalami dan berpengetahuan tentang hakikat. Pengetahuan yang diperolehi itu sangat berharga baginya dan dijaganya benar-benar, tidak dibukakannya kepada orang lain kerana dia tahu yang orang ramai sukar memahami perkara yang telah dialaminya itu.

Pemegang ilmu ghaib golongan kedua tidak pula melalui proses pembelajaran dan latihan seperti golongan pertama. Golongan ini tiba-tiba sahaja dibukakan hakikat kepada mereka (hanya Allah s.w.t mengetahui mengapa Dia berbuat demikian). Oleh sebab mereka memperolehinya dengan mudah dan tanpa asas pengetahuan yang kuat, mereka tidak mengetahui nilai sebenar pengetahuan yang mereka perolehi itu. Mereka menyangkanya sebagai ilmu biasa. Lantaran mereka memahaminya mereka menyangka orang lain juga memahaminya. Sebab itu mereka mudah memperkatakan ilmu tersebut di hadapan orang ramai. Oleh sebab ilmu ini tidak dapat diceritakan kecuali dengan ibarat, satu daripada dua kemungkinan akan berlaku. Pertama, lantaran orang ramai melihat latar belakang orang hakikat tadi tidak mempunyai asas agama yang kuat, bukan orang alim, maka mereka menganggapnya pembohong dan pembawa cerita khayal. Kedua, kemungkinan ada orang yang mempercayainya tetapi kepercayaan itu tertuju kepada ibarat bukan kepada yang diibaratkan. Kedua-dua kemungkinan tersebut adalah tidak sihat. Sebab itu dilarang keras memperkatakan tentang ilmu hakikat kepada bukan ahlinya. Orang yang membeberkannya dengan mudah disebut orang jahil yang tidak tahu nilai berlian yang ada padanya. 



[Baca selanjutnya...]
Previous Home
hostgator coupon code